VentureTECH, anak syarikat milik penuh Malaysian Industry-Government Group for High Tech (MIGHT) kini mengumumkan pelaburan RM28 juta ke atas Delta Spike Asia dan IX Telecom. Komitmen ini penting dalam memacu tahap keselamatan siber serta infrastruktur digital rentas sempadan bagi memperkukuh ekosistem teknologi Malaysia.
Pelaburan ini dijelaskan akan menyokong Delta Spike membangunkan platform keselamatan siber yang lebih canggih untuk melawan ancaman digital yang semakin rumit. Manakala bagi IX Telecom, modal ini bertujuan menyokong pengembangan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab ketersambungan digital serantau.
Melalui komitmen pelaburan ini juga, VentureTECH optimis ia dapat memberi dorongan firma Bumiputera yang lain dalam mengukuhkan kepakaran mereka pada pasaran yang lebih besar. Selaku pelabur impak yang disokomg kerajaan, VentureTECH terus memainkan peranan utama dalam memacu pertumbuhan industri teknologi tinggi. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti industri tempatan, malah memastikan masa depan digital Malaysia lebih selamat, cekap dan berdaya saing.