Artikel

Kerajaan Kaji Peluang Turunkan Harga Barang Import, Hasil Pengukuhan Ringgit

Pengukuhan nilai mata wang Ringgit dilihat berupaya memberi manfaat yang lebih luas kepada pengguna negara. Potensi ini jelas Kementerian Kewangan (MOF) akan diteliti bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bagi menganalisis prestasi ringgit untuk membentuk peluang dalam menurunkan sebilangan harga barangan pengguna – antaranya barangan import. 

Pelaksanaan ini wajar diteliti susulan harga produk import perlu diselaraskan mengikut kadar pertukaran mata wang semasa – tindakan ini bagi memastikan kestabilan ekonomi terus dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah.

Ketika ini prestasi ringgit memaparkan peningkatan baik apabila melonjak sekitar 14% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak awal 2025. Sementara peningkatan sehingga 7% berbanding mata wang utama negara lain.

Dengan pengukuhan nilai ringgit mengikut laporan Bernama, persekitaran ini akan memberi manfaat kepada harga barangan import ke Malaysia. Namun penurunan itu turut memberi kelebihan kepada pengimport dengan keperluan kos kemasukan bekalan yang lebih rendah. Setakat ini kedua kementerian masih meneliti peluang tersebut sebelum melaksanakan sebarang tindakan rasmi.