Artikel

Ringgit Naik 10.2% Berbanding Dolar AS Pada 2025 – BNM

Pretasi ringgit Malaysia terus memaparkan pengukuhan apabila suku keempat 2025 memperlihatkan nilai ringgit meningkat sebanyak 3.8% berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia. Sementara berbanding dolar AS, ringgit dilihat menambah nilai sebanyak  3.9% pada tempoh yang sama.

Perkembangan ini secara langsung telah membawa kepada prestasi yang membrangsangkan pada 2025. Di mana ringgit menambah nilai sebanyak 10.2% berbanding dolar AS, manakala penambahan nilai NEER ringgit adalah sebanyak 6.3%. 

Data yang dikongsikan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menjelaskan persekitaran itu, didorong oleh faktor luaran dan juga dalam negeri. Daripada aspek luaran, perbezaan kadar faedah yang mengecil susulan pengurangan kadar dasar oleh Federal Reserve AS pada bulan Oktober dan Disember telah menyokong prestasi ringgit pada suku tersebut.

Selain itu, penambahan nilai ringgit didorong oleh berkurangnya ketidakpastian berkaitan tarif apabila AS memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan beberapa rakan dagangannya di rantau ini, termasuk Malaysia. Di dalam negeri, prospek ekonomi Malaysia yang positif dengan disokong oleh beberapa usaha pembaharuan, terus mengukuhkan keyakinan pelabur serta menambah baik sentimen keseluruhan dalam pasaran kewangan domestik.

Dengan tahap kemajuan itu, BNM optimis pada masa hadapan pergerakan ringgit akan terus dipengaruhi oleh faktor luaran. Meskipun begitu, asas dalam negeri yang berdaya tahan dijangka memberikan sokongan berterusan kepada ringgit. Setakat ini usaha yang dijalankan termasuk program Qualified Resident Investor (QRI) yang menawarkan fleksibiliti kepada syarikat korporat pemastautin untuk melabur semula di luar negeri, serta libat urus proaktif dengan para pelabur, pengeksport dan pengimport. BNM juga akan terus memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur.