Singapura kini dilihat terus manfaatkan kedudukan segmen ekonomi mereka, apabila mengumumkan akan menaikkan kelayakan gaji minimum bagi pemegang Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S, mulai Januari 2027 ini.
Makluman yang dikongsikan Perdana Menteri Lawrence Wong ini selaras dengan pembentangan Penyata Belanjawan 2026 negara itu.
Ini bermakna, bagi pemegang EP iaitu kumpulan pekerja profesional akan dinaikkan kepada S$6,000 manakala pekerja di sektor kewangan pula akan meningkat kepada S$6,600, diikuti Pas S iaitu pekerja separa kemahiran tinggi pula akan meraih gaji minimum S$3,600 dan kumpulan dalam sektor kewangan dinaikan kepada S$4,000. Pelarasan ini adalah tindak balas Singapura untuk kembali memberi pulangan kepada sumbangan ekonomi oleh golongan profesional dan pekerja asing.
Biarpun pelaksanaan ini akan dijalankan pada 2027 namun penguatkuasaan menyeluruh akan berlaku pada 2028. Perihal itu bagi memberi ruang kepada sektor perniagaan menyesuaikan operasi atas pembaharuan dasar tersebut.
Pas EP direka untuk profesional, pengurus, dan eksekutif yang berkemahiran tinggi, yang biasanya memerlukan kelayakan khusus seperti ijazah yang diiktiraf, pengalaman profesional yang relevan, dan ambang gaji minimum.
Sebaliknya, Pas S disasarkan kepada pekerja mahir tahap pertengahan dalam pelbagai industri, seperti juruteknik dan kakitangan sokongan, yang memenuhi kriteria berkaitan kelayakan, pengalaman kerja yang relevan, dan ambang gaji yang lebih rendah berbanding EP.