Artikel

PayNet Umum Kerjasama Untuk UPI – Kelak Boleh Bayar Guna DuitNow QR Di India

Lanjutan pengumuman Perdana Menteri India, hari ini PayNet memaklumkan mereka telah memeterai perjanjian dengan NPCI International, iaitu badan yang bertanggungjawab untuk sistem pembayaran UPI di India dan juga rangka kad RuPay.

Dibawah kerjasama ini, ia membawa kepada sokongan rentas UPI dan DuitNow QR – membolehkan pengguna di India membayar mengimbas DuitNow QR, dan begitu juga dengan pengguna Malaysia boleh mengimbas kod UPI QR.

PayNet menyatakan inisiatif ini akan dilaksanakan dalam dua fasa. Untuk fasa pertama, ia akan membolehkan pelancong India yang berkunjung ke Malaysia menggunakan aplikasi yang menyokong UPI dan mengimbas kod DuitNow QR untuk pembayaran.

Pada fasa kedua pula, rakyat Malaysia yang berkunjung ke India boleh mengimbas kod UPI QR guna dompet digital tempatan dengan sokongan DuitNow QR untuk pembayaran di India.

Ini juga secara tidak langsung meningkatkan lagi kerjasama kesalinghubungan pembayaran antara Malaysia dan India – dan pada masa yang sama memudahkan pelancong dari India sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.