Artikel

Isu Air Tidak Jejaskan Pembangunan Pusat Data Semasa, Tiada Pelaburan Ditangguhkan – MITI

Setakat Januari 2026, tiada pelaburan pusat data di Malaysia ditangguhkan mahupun berisiko untuk ditangguhkan atau berpindah ke negara berikutan isu kekangan bekalan air. 

Makluman notis Parlimen menjelaskan bahawa walaupun Johor menangguhkan kelulusan pusat data baharu sehingga 2027, ia tidak menjejaskan projek pusat data yang sedang berjalan. Data MITI ini memperincikan perihal ini disokong dengan manfaat teknologi hijau.

Antaranya Johor merupakan negeri pertama yang mengguna pakai teknologi air dipulih guna melalui kerjasama Permodalan Darul Ta’zim (PDT), Johor Special Water (JSW) dan Indah Water Konsortium (IWK) untuk merawat air kumbahan bagi kegunaan sistem penyejukan pusat data. Teknologi seumpama ini turut digunapakai oleh pusat data di kawasan Lembah Klang milik syarikat teknologi terkemuka.

Malah terdapat juga pusat data yang mengintegrasikan penggunaan greywater dan sistem tadahan air hujan bagi operasi pusat data, membuktikan bahawa industri ini mampu berkembang tanpa bergantung sepenuhnya kepada sumber air terawat.

Bagi memastikan pertumbuhan industri ini seiring dengan usaha ke arah kemampanan alam sekitar, Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah memperkenalkan Garis Panduan Bekalan Air Bagi Pembangunan Pusat Data yang berkuatkuasa bermula 1 September 2025 lalu untuk membantu kelancaran isu air pada pembangunan pusat data semasa.