Artikel

Marrybrown Teroka Pasaran Mesir – Sasar Buka 100 Cawangan Dalam Masa 10 Tahun

Marrybrown, jenama makanan segera tempatan kini terus mengukuhkan rantaian kumpulan di pasaran global dengan mencapai perjanjian francais di Mesir menerusi kerjasama syarikat Talaat Moustafa Group (TMG), Talaat Moustafa Retail (TMR) pada hari ini.

Kesepakatan ini akan mewujudkan kerangka kerjasama jangka panjang dengan menggabungkan kekuatan kedua jenama menerusi perkongsian pengetahuan dan pasaran tempatan TMG pada segmen hospitaliti dan komersial.

Potensi kemasukan Marrybrown ke Mesir dilihat akan mengukuhkan lagi perluasan jejak jenama di Timur Tengah dan Afrika. Ketika ini pihak Marrybrown sedang meneliti rancangan untuk membuka 100 cawangan baharu dalam masa 10 tahun dengan pelancaran awal sebanyak 6 cawangan di Kaherah yang disasarkan untuk dilaksanakan pada 2026. Secara menyeluruh Marrybrown buat masa ini menguruskan lebih 500 cawangan melibatkan 16 negara.