Malaysia dilihat tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan rawatan penyakit semata-mata susulan kos pengurusan semasa direkodkan melebihi kemampuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ketika ini, Malaysia perlu berbelanja RM64.3 bilion setahun untuk mengurus penyakit tidak berjangkit (NCD) – di mana kos ini secara jelas melebihi peruntukan KKM sebanyak RM46.52 bilion tahun ini.
Untuk mengatasi isu kos ini, Menteri Kesihatan pada perkongsian semalam menjelaskan negara perlu beralih kepada pendekatan strategi pencegahan dan pendidikan kalangan rakyat Malaysia.
Ini kerana secara kumulatifnya kadar kes NCD seperti diabetes telah memaparkan peningkatan sekitar 10.2% pada rekod semasa. Persekitaran ini menuntut pendekatan yang lebih agresif untuk sistem kesihatan negara menangani isu NCD di pasaran hadapan. Buat pengetahuan umum, tidak sekadar diabetes, NCD turut meliputi penyakit seperrti kardiovaskular, kanser, dan pernafasan kronik.