Artikel

Bank Negara Terima 35 Permohonan Stablecoin – Uji Inisiatif Disandarkan Ringgit

Bank Negara Malaysia (BNM) kini memaklumkan telah menerima sehingga 35 permohonan berkaitan stablecoin dan inovasi aset digital setakat ini. Perkembangan itu dikongsi dalam Forum Ekonomi Malaysia 2026, yang menegaskan komitmen BNM untuk menyokong inovasi teknologi kewangan sambil mengekalkan kestabilan kewangan negara.

Fokus utama agenda ini adalah menyokong kes penggunaan dalam perniagaan yang sah dan aktiviti ekonomi sebenar. Jelas BNM, inisiatif ini bukan bertujuan untuk spekulasi, sebaliknya untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih cekap melalui teknologi digital.

Buat masa ini, beberapa inisiatif sedang menjalani ujian ketat di bawah Hab Inovasi Aset Digital BNM. Pengaturan sandbox ini membolehkan pemain industri menguji penyelesaian kewangan mereka dalam persekitaran yang terkawal bagi memastikan keselamatan pengguna dan sistem kewangan.

Setelah melepasi fasa pengujian tersebut dan memenuhi kriteria yang ditetapkan, penyelesaian yang terpilih akan dikomersialkan dan dilancarkan kepada umum. Ini merupakan langkah proaktif BNM dalam memodenkan landskap kewangan Malaysia.