Kelle Energy, syarikat teknologi tenaga bersih Singapura, hari ini secara rasminya melancarkan pengecas kenderaan elektrik (EV) mudah alih pertama di Malaysia yang diintegrasikan dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).
Teknologi ini untuk makluman menggabungkan pengecasan pantas arus terus (DC) dengan pengurusan tenaga pintar, membolehkan unit pengecasan dilaraskan dengan pantas tanpa memerlukan kerja pembinaan infrastruktur atau pengukuhan grid elektrik yang rumit sebagaimana poin pengecas yang tersedia di pasaran semasa.
Penyelesaian inovatif ini bertindak sebagai pelengkap kos efektif kepada infrastruktur pengecasan tetap sedia ada, di mana satu unit mudah alih mampu menyokong pelbagai kenderaan secara fleksibel. Akses ini sekali gus dapat memacu ekosistem EV yang lebih pintar bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.
Dengan keupayaan membekalkan kuasa terus kepada kenderaan, teknologi ini berkesan dalam mengurangkan kesesakan di stesen pengecasan serta mengoptimumkan penggunaan ruang di kawasan bandar yang mempunyai kekangan infrastruktur.
Selaras dengan Rangka Kerja Mobiliti Rendah Karbon 2021–2030, pelancaran ini turut diperkukuh melalui pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) strategik. Kerjasama antara Kelle Energy, Anhui Yijianeng Digital Technology (anak syarikat Gotion High-Tech) dan EV Connection (EVC) bakal memfokuskan kepada pengembangan penempatan pengecas EV mudah alih di seluruh negara.
Inisiatif ini dijelaskan akan menyasarkan pusat bandar, kemudahan komersial, serta kediaman bangunan tinggi yang memerlukan penyelesaian pengecasan yang pantas dan mesra pengguna.