Artikel

Persekutuan Setuju Sarawak Ambil Alih Pelabuhan Bintulu – Pada Nilai RM1.8 Bilion

Selari dengan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) – Sarawak dan Kerajaan Persekutuan kini berada di peringkat akhir dalam memuktamadkan proses penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada pentadbiran negeri. Selari dengan langkah itu, kedua pihak bersetuju Sarawak mengambilalih Pelabuhan Bintulu pada nilai RM1.8 bilion. 

Pada fasa akhir ini, jelas Kementerian Pengangkutan (MOT), kedua pihak kini sedang perhalusi aspek perundangan bagi memastikan semua obligasi disempurnakan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 sebelum tarikh penguatkuasaan akta sedemikian ditetapkan kelak.

Dengan peralihan sedemikian, ia sekali gus memberi Sarawak hak mutlak dalam mentadbir dan mengawalselia Pelabuhan Bintulu di pasaran hadapan. Dan meletakan Pelabuhan Bintulu di bawah satu entiti pengawalselia negeri iaitu Lembaga Pelabuhan Pusat Sarawak yang bertindak menyelaraskan operasi semua pelabuhan di negeri tersebut.

Nilai pembayaran RM1.8 bilion ini untuk makluman adalah melibatkan persetujuan kedua pihak untuk mengimbangi kos pampasan aset iaitu melibatkan pelaburan Kerajaan Persekutuan yang telah dijalankan sejak tahun 1981 lagi. Amaun itu turut meliputi keperluan akan peralihan pegangan milik Lembaga Pelabuhan Bintulu.