Elon Musk hari ini membuat kejutan dengan mengumumkan SpaceX akan mengambil-alih xAI, sekaligus ini membentuk syarikat persendirian paling bernilai di dunia. Ia dianggarkan SpaceX akan bernilai sekitar $1.25 trilion selepas pengambil-alihan ini.
Buat masa ini, SpaceX masih beroperasi sebagai syarikat persendirian, tetapi ia dijangka akan disenaraikan awam dalam tahun ini.
SpaceX merupakan syarikat memfokuskan penawaran perkhidmatan pelancaran roket ke angkasa, selain turut menyediakan perkhidmatan internet melalui satelit. Sementara xAI merupakan syarikat disebalik media sosial X dan juga chatbot Grok. Gabungan kedua-dua syarikat dijangka akan membawa kepada eksplorasi beberapa produk baharu, termasuk pembangunan pusat data di angkasa.
Untuk pengambil-alihan ini, ia dijangka akan dilakukan menggunakan saham. SpaceX dinilaikan sekitar $1 trilion, sementara xAI pula dinilaikan pada $250 bilion. Pengambil-alihan ini hadir selepas Tesla mengumumkan pelaburan $2 bilion pada xAI baru-baru ini.