Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terbaharu menunjukkan median gaji bulanan pekerja formal negara terus alami peningkatan apabila rekod September 2025 melonjak kepada RM2,864 sebulan.
Peningkatan ini mengikut laporan Statistik Upah Pekerja Suku Ketiga 2025 didorong akan pertumbuhan guna tenaga yang stabil, di mana bilangan pekerja formal meningkat sebanyak 3.5% pada tempoh tersebut. Biarpun begitu, didapati masih terdapat pekerja formal negara meraih upah bulanan di bawah paras gaji minimum. Biarpun peratusan ini telah memaparkan penurunan ketara namun 8.8% daripada jumlah pekerja formal rakyat Malaysia menerima upah bawah RM1,700 sebulan.
Manakala analisis persentil pula menunjukkan 10% pekerja formal terendah di negara direkodkan menerima gaji bulanan sebanyak RM1,700 ke bawah dan 10% pekerja formal teratas pula menerima upah sekurang-kurangnnya RM9,000 setiap bulan.
Perbezaan ini jelas menunjukkan 10% pekerja formal teratas menerima 5 kali ganda upah daripada kumpulan pekerja formal terendah – menggambarkan jurang upah dan gaji terus melebar antara kumpulan.
Sementara berlandaskan taburan jantina pula, pekerja formal lelaki dilihat meraih nilai median upah bulanan lebih tinggi iaitu RM2,900 sebulan sementara wanita pula menerima median upah sebanyak RM2,800 sebulan.