Amerika Syarikat (AS) kini secara rasminya bukan lagi sebahagian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selepas pentadbiran Presiden Donald Trump melengkapkan proses pengunduran negara itu daripada agensi kesihatan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mengikut notis Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan (HHS) AS, tindakan ini merupakan sebahagian daripada strategi baharu untuk mengasingkan dasar kesihatan negara. AS kini memilih untuk tidak lagi terikat dengan badan tunggal global, sebaliknya akan mengambil pendekatan secara terus dengan negara-negara lain dalam menangani isu kesihatan global.
Meskipun proses pengunduran rasmi memerlukan notis setahun dan pelunasan semua yuran tertunggak, AS dilaporkan enggan membayar hutang yang dianggarkan berjumlah sehingga $280 juta itu. Pihak pentadbiran menegaskan bahawa mereka tidak akan melunaskan tunggakan tersebut susulan konflik berpanjangan mengenai keberkesanan organisasi itu serta beban pendanaan tinggi yang selama ini ditanggung oleh pembayar cukai AS.
Maka dengan langkah pengunduran AS – tindakan ini bermakna berakhirnya peranan AS selaku penyumbang dana terbesar kepada WHO, sekali gus mengubah landskap diplomasi kesihatan antarabangsa di mana AS kini lebih mengutamakan kedaulatan dasar domestik berbanding kerjasama multilateral.