Artikel

Cukai Pempengaruh – Apa Yang Perlu Anda Isytihar?

Menjadi pempengaruh media sosial kini bukan lagi sekadar hobi, malah ia diiktiraf sebagai satu kerjaya yang mampu menjana pendapatan yang tinggi. Namun selaku rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, setiap sen hasil titik peluh anda tertakluk kepada undang-undang percukaian negara.

Maka untuk memastikan tanggunjawab itu dilunas sebaik mungkin, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menerbitkan Garis Panduan Layanan Cukai Ke Atas Pendapatan Pempengaruh Media Sosial pada 14 Januari 2026 lalu. Jadi ini antara ringkasan garis panduan baharu yang perlu difahami pempengaruh media sosial di Malaysia untuk tindakan mengisytiharkan pendapatan anda kelak ~

Selain Pempengaruh Manusia – Pempengaruh Berasaskan Objek Juga Perlu Bayar Cukai

Siapa kata cukai hanya terpakai untuk manusia dan individu semata? LHDN pada garis panduan percukaian baharu ini telah menyatakan selain Pempengaruh Individu, Pempengaruh Berasaskan Objek turut perlu bayar cukai!

Pempengaruh berasaskan objek ini untuk makluman mewakili pihak seperti watak animasi, watak lakonan atau watak yang dicipta dan didaftarkan pada mana-mana paltform media sosial dan mempunyai pengikut. Ini bermakna sekiranya watak animasi BoBoiBoy dan Upin & Ipin miliki akaun di media sosial yang dikendalikan oleh individu atau syarikat penerbitnya – maka perlu bayar cukai seperti pempengaruh manusia yang lain.

Walaupun kumpulan ini telahpun membayar cukai korporat – tetapi pengenalan garis panduan baharu ini mewujudkan pengkelasan yang lebih khusus bagi aktiviti digital watak-watak tersebut. Usaha ini secar langsung mengimbangi aliran ekonomi dalam ekosistem digital negara dan mencerminkan watak animasi tempatan juga kini memiliki nilai komersial yang tinggi setanding pempengaruh manusia di media sosial.

Ini Antara Cukai Yang Perlu Pempengaruh Isytihar

#1 Bayaran Yang Diterima Daripada Platform Media Sosial

Pendapatan utama bagi kebanyakan pempengaruh datangnya daripada penyedia platform itu sendiri seperti YouTube, TikTok, atau Facebook. Bayaran ini biasanya dikira berdasarkan prestasi kandungan anda, termasuk jumlah klik, tanda suka, dan jumlah tontonan video. Selain itu, sebarang komisen daripada yuran langganan pengikut serta iklan yang dipaparkan pada akaun anda juga dikira sebagai pendapatan. Jangan lupa, hadiah digital atau saguhati yang diterima semasa sesi siaran langsung yang mempunyai nilai wang turut wajib diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perolehan tahunan anda.

#2 Duta Produk, Ulasan Berbayar

Sebagai pempengaruh, anda mungkin sering dilantik menjadi duta jenama atau melakukan ulasan produk secara kontrak. Pendapatan ini tidak terhad kepada wang tunai yang diterima sebagai upah sahaja. LHDN menetapkan bahawa sebarang bentuk manfaat bukan tunai juga mempunyai nilai cukai. Ini termasuklah barangan percuma yang diberikan oleh syarikat, perkhidmatan percuma, baucar, kemudahan penginapan, mahupun diskaun khas yang diterima hasil daripada kerjasama promosi tersebut. Semua nilai ini perlu dinilai mengikut harga pasaran dan dilaporkan dalam borang nyata cukai.

#3 Jualan Barangan dan Pemilikan Akaun

Pempengaruh yang menceburi bidang keusahawanan dengan menjual produk jenama sendiri, sama ada barangan fizikal atau digital seperti e-buku dan sesi latihan dalam talian, perlu merekodkan hasil jualan tersebut sebagai pendapatan perniagaan. Selain itu, satu perkara yang jarang diketahui ialah hasil daripada penjualan akaun media sosial itu sendiri. Jika anda menjual akaun atau ID media sosial yang sudah mempunyai jumlah pengikut yang besar kepada pihak lain, bayaran yang anda terima daripada transaksi tersebut adalah tertakluk kepada cukai pendapatan. 

#4 Kepakaran Dan Penampilan Awam

Kategori pendapatan terakhir merangkumi penggunaan imej atau kepakaran anda di luar kandungan media sosial biasa. Sekiranya pihak lain membayar anda untuk menggunakan imej atau watak anda bagi tujuan komersial, bayaran itu dianggap sebagai royalti. Begitu juga dengan upah yang diterima apabila anda dijemput sebagai penceramah, juri pertandingan, atau hos bagi sesuatu acara. Penampilan awam seperti menghadiri majlis perasmian atau pertunjukan fesyen yang melibatkan bayaran kehadiran juga merupakan punca pendapatan yang tidak boleh diketepikan dalam laporan cukai anda.


Maka untuk mengelakkan sebarang kesulitan di masa hadapan, para pempengaruh diberi peringatan laksana sistem penyimpanan dokumen, resit, dan kontrak kerjasama yang rapi bagi tempoh sekurang-kurangnya 7 tahun. Dengan sokongan dokumen ini, anda juga berhak menuntut penolakan cukai ke atas perbelanjaan yang berkaitan dengan penghasilan kandungan—seperti kos peralatan, utiliti internet, dan pemasaran. Bersama rekod yang telus dan pengurusan cukai yang bijak, para pempengaruh bukan sahaja dapat melindungi kredibiliti kerjaya, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara bertanggungjawab.