Dengan kedudukan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin dominan di pasaran semasa – VISA Malaysia menjangkakan, pengukuhan ini secara langsung akan mendorong perubahan kepada cara pengguna tempatan berbelanja. Antaranya tidak sekadar memanfaatkan kaedah nirtunai mahupun dompet digital tetapi memanfaatkan AI untuk membantu pengguna laksana amalan membeli-belah.
Dalam sesi bersama rakan media hari ini, VISA menjelaskan pihaknya kini sedang meneroka konsep pembantu digital pintar yang berpotensi membantu pengguna mencari barang dan menguruskan bayaran secara automatik bagi pihak mereka. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk memudahkan urusan seharian, malah sedang dirancang untuk memastikan setiap transaksi digital pada masa hadapan mempunyai sistem pengesahan yang lebih kukuh bagi mengelakkan penipuan.
Selain itu, sepertimana yang dikongsikan VISA pada Asia Pacific Media Showcase 2025, pihaknya kini turut meneroka perluasan ekosistem pembayaran menerusi Identiti Digital. Di mana sistem ini akan melibatkan penggunaan imbasan wajah atau cap jari pengguna. Seterusnya ciri seperti Passkey dan Tap to Confirm telah dibangunkan untuk menggantikan kerumitan mengingati kata laluan, sekali gus mengurangkan risiko kecurian akaun yang sering berlaku dalam ekosistem pembayaran dalam talian sekarang.
Adanya akses sedemikian ia secara langsung menambah nilai pengalaman berbelanja pengguna, tidak hanya di Malaysia bahkan di seluruh pasaran antarabangsa. Berdasarkan perkongsian itu, VISA menjelaskan sebilangan penyelesaian ini telahpun dilaksanakan antaranya bersama Maybank menerusi ciri keselamatan biometrik selaku kata laluan baharu dan penyelesaian ejen AI pula dijangkakan akan mula diterapkan pada tahun 2026 untuk pasaran terpilih.