Artikel

Akta Satu Pendidikan Tinggi Akan Dibangunkan – Sasar Seragamkan Ekosistem IPT Negara

Selepas berjaya meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan sehingga 92.5% dan menyediakan 1.5 juta tempat pengajian, kerajaan kini mahu memastikan setiap pelajar di Malaysia bukan sahaja mendapat tempat, tetapi turut meraih pendidikan yang berkualiti tinggi. Berlandaskan komitmen itu, pentadbiran kini telah memperbaharui pelan pendidikan tinggi 10 tahun menerusi pengenalan Rancangan Pendidikan Tinggi (RPT) 2026-2035 yang dilancarkan pada hari ini.

Jelas Menteri Pendidikan Tinggi, strategi ini akan dilaksanakan dalam tiga peringkat utama bermula dengan fasa Cetus (2026-2028). Pada fasa ini, tumpuan diberikan kepada pengukuhan tadbir urus melalui pengenalan Akta Satu Pendidikan Tinggi atau One Higher Education Act (OHEA) yang akan menyelaraskan sistem pendidikan tinggi negara agar lebih cekap. Selain itu, fasa ini menekankan aspek kemanusiaan seperti menjaga kesihatan mental pelajar dan memperkenalkan cara pembelajaran yang lebih fleksibel melalui TVET serta kursus modular.

Akta Satu Pendidikan Tinggi adalah satu undang-undang baharu yang bertujuan menggabungkan atau menyelaraskan peraturan bagi semua institusi pendidikan tinggi (awam dan swasta). Tujuannya supaya pengurusan universiti lebih kemas, kualiti pendidikan lebih seragam, dan tiada jurang perbezaan yang besar antara institusi

Seterusnya, fasa Pacu (2029-2031) akan menyaksikan pelaksanaan penuh OHEA dan mempercepatkan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam bilik kuliah. Fasa terakhir iaitu Tingkat (2032-2035) pula bertujuan meletakkan universiti Malaysia sebagai pemimpin global dalam penyelidikan dan inovasi yang mesra alam. Langkah ini penting bagi memastikan institusi pendidikan kita bukan sekadar tempat belajar, tetapi pusat penyelesaian masalah dunia.

Lebih menarik, antara matlamat utama KPT adalah menyediakan akses pendidikan yang lebih saksama kepada sesiapa sahaja termasuk komuniti Orang Asli dan Orang Kurang Upaya (OKU). Universiti juga akan bekerjasama lebih rapat dengan industri untuk memastikan apa yang dipelajari di kelas adalah apa yang diperlukan oleh pasaran kerja, termasuk sokongan untuk pelajar yang ingin membina syarikat pemula (start-up) mereka sendiri. Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan pemimpin masa depan yang beretika, inovatif, dan mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.