Artikel

Khazanah Dilaporkan Mahu Suntik Modal Besar Pada Arena Grid Kuasa, Firma Cip

Berikutan terdapat keperluan infrastruktur yang sangat tinggi dalam menyokong kecerdasan buatan (AI) di pasaran semasa – Khazanah Nasional kini dilihat mahu memanfaatkan pertumbuhan tersebut dengan meningkatkan pelaburan pada arena grid kuasa dan syarikat cip. 

Potensi suntikan modal yang lebih tinggi pada kedua segmen ekonomi itu menurut laporan Reuters dikongsikan pada Forum Ekonomi Sedunia (WEF) yang sedang berlangsung di Davos minggu ini. 

Melalui tumpuan tersebut, langkah ini akan mengukuhkan keselamatan tenaga dan kestabilan grid kuasa negara untuk kekal berdaya saing pada pasaran dunia. Selain itu, Khazanah juga sedang mencari peluang untuk menyokong syarikat semikonduktor tempatan dalam usaha mereka beralih ke rantaian nilai yang lebih tinggi. Pihaknya sedang menilai cara untuk membantu membiayai keperluan modal bagi pemain industri cip Malaysia, khususnya dalam bidang pembungkusan termaju.

Dengan matlamat sedemikian iaitu mengukuhkan rantaian bekalan cip serta meluaskan suntikan modal kepada sektor strategik – Khazanah dijangka akan meletakkan Malaysia selaku hab teknologi utama di rantau Asia Tenggara, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor berteknologi tinggi.