Artikel

1% Orang Terkaya Kini Menguasai 44% Kekayaan Dunia

Tahun 2025 memaparkan berlakunya lonjakan 16% kekayaan kumpulan bilionwan di seluruh dunia. Peningkatan tiga kali ganda ini untuk makluman melibatkan jumlah $18.3 trilion. Ini merupakan rekod kenaikan tertinggi dalam sejarah.

Data yang didedah tinjauan Oxfam pada sidang Forum Ekonomi Sedunia (WEF) ini, turut memperincikan rekod tersebut sekali gus menunjukkan kekayaan para bilionwan telah meningkat sebanyak 81% sejak 2020 tatkala hampir 50% penduduk dunia kekal dalam kemiskinan.

Lebih mengerunkan nilai kekayaan ini secara kolektifnya telah meningkat sebanyak $2.5 trilion pada 2025 – yang mana angka ini menjelaskan bilionwan menjana sekitar $80,700 setiap saat dan angka itu juga menyamai jumlah kekayaan yang dimiliki separuh penduduk terbawah di dunia iaitu melibatkan jumlah 4.1 bilion orang.

Oxfam dapati jumlah ini sebenarnya sudah cukup untuk menghapuskan kemiskinan tegar sebanyak 26 kali ganda. Tidak hanya itu dengan nilai tersebut, jumlah tersebut turut boleh diagihkan dengan memberikan setiap orang di dunia ini sebanyak $250 dan kumpulan terkaya ini masih memiliki lebihan $50 bilion kekayaan.

Melihat kepada peningkatan paras kekayaan itu, Oxfam turut menjelaskan jumlah jutawan di dunia akan terus meningkat dengan anggaran 5.34 juta jutawan menjelang 2029. Biarpun kenyataan ini seakan memperlihatkan lebih ramai golongan kaya namun ketahuilah Bank Dunia turut menganggarkan pada tempoh yang sama seramai 3.55 bilion penduduk dunia masih lagi hidup dalam kemiskinan.

Ini perincian dapatan lain:.

  • Bilangan bilionwan kini lebihi 3,000 orang dengan 60 juta jutawan
  • Individu terkaya – Elon Musk menjadi orang pertama yang berjaya lepasi nilai kekayaan $500 bilion iaitu setengah trilion dolar
  • Para jutawan 4,000 kali ganda cenderung untuk memegang jawatan politik berbanding orang biasa
  • Setiap hari, penduduk dunia habiskan masa sebanyak 11.8 bilion jam (bersamaan lebih 1 juta tahun secara terkumpul – untuk guna kandungan media sosial yang diasaskan oleh golongan jutawan seperti Facebook, Instagram, dan X

Kedudukan ini secara berkala turut melebarkan lagi jurang maha kaya dan rakyat. Untuk makluman umum setakat 2025 sahaja, 1% orang terkaya didapati memiliki 43.8% kekayaan dunia, sementara 10% orang terkaya pula menguasai 75% kekayaan dunia dan 50% penduduk dunia miskin pula sekadar memegang 0.5% daripada kekayaan dunia.