Artikel

Selain Pempengaruh Manusia, BoBoiBoy Juga Perlu Bayar Cukai – LHDN

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) baru-baru ini telah tampil dengan garis panduan percukaian baharu ke atas kumpulan pempengaruh di Malaysia – antaranya selain manusia, kategori Pempengaruh Berasaskan Objek turut diperkenalkan. Di mana kumpulan ini, akan menuntut watak animasi popular seperti BoBoiBoy dan Upin & Ipin untuk turut melunaskan tanggungjawab percukaian mereka.

Jelas LHDN, ketetapan pempengaruh ini tidak lagi terhad kepada individu fizikal semata-mata, sebaliknya merangkumi watak digital yang dikendalikan oleh syarikat atau pemilik hak penerbitan. Ini merangkumi akaun media sosial watak-watak ini yang aktif di platform seperti YouTube, TikTok, dan Instagram menjana keuntungan melalui pengiklanan, duta jenama, serta ulasan produk. Ini bermakna setiap hasil pendapatan yang dijana atas nama watak tersebut adalah tertakluk di bawah undang-undang cukai pendapatan sedia ada.

Dan tanggungjawab cukai ini dijelaskan akan dipikul oleh syarikat penerbitan yang memiliki hak cipta watak tersebut iaitu Monsta atau Les’ Copaque. Walaupun syarikat-syarikat ini sudah sedia membayar cukai korporat, namun pengenalan garis panduan baharu ini mewujudkan pengkelasan yang lebih khusus bagi aktiviti digital watak-watak tersebut.

Usaha ini tidak hanya mengimbangi aliran ekonomi dalam ekosistem digital negara tetapi turut mencerminkan watak animasi tempatan juga kini memiliki nilai komersial yang tinggi setanding pempengaruh manusia di media sosial.