Johor optimis pastikan setiap pembangunan dan pelaburan strategik negeri termasuklah projek skala besar, pusat data dan industri berintensif di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak menjejaskan keperluan asas rakyat terutamanya melibatkan bekalan elektrik dan air yang menjadi keperluan penting pada rakyat negeri.
Komitmen itu kini sedang diteliti, bersama pihak berkepentingan – antaranya Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ranhill SAJ (RSAJ) bagi memahami kesan semasa dan membincangkan strategi jangka masa tertentu dalam menjamin ketersediaan bekalan kedua-dua utiliti tersebut di Johor.

Setakat ini menurut TNB bekalan elektrik di JS-SEZ kekal di tahap mencukupi dan terkawal dengan Disember 2025 kapasiti terpasang bekalan elektrik sebanyak 3,885 MVA, dengan permintaan semasa sekitar 1,272 MW, bersamaan kadar penggunaan kira-kira 72.76%, yang masih berada dalam margin operasi sihat.
Dan untuk memastikan jaminan bekalan itu, TNB turut merancang membangunkan infrastruktur grid secara berfasa. Melibatkan 4 Pencawang Masuk Utama (PMU) yang telah diluluskan dengan kapasiti 630 MVA, serta 9 PMU tambahan dalam perancangan berkapasiti 1,620 MVA. Dengan pendekatan itu, setiap pelaburan baharu di JS-SEZ akan disokong oleh kapasiti tambahan yang dirancang tanpa menjejaskan bekalan elektrik sedia ada untuk rakyat Johor.
Sementara bekalan air pula, sehingga Januari 2026 RSAJ melaporkan jumlah peruntukan kapasiti bekalan air sebanyak 1,488 juta liter sehari (JLH), dengan pengeluaran semasa sekitar 1,261 JLH sekali gus menyediakan kapasiti rizab sekitar 227 JLH atau 15% untuk menampung keperluan semasa bekalan air di JS-SEZ.
Pentadbiran Johor turut memaklumkan merancang dan melaksanakan lima projek Loji Rawatan Air (LRA) baharu serta projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dengan kerjasama RSAJ, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Projek-projek ini akan dibangunkan secara berperingkat bagi memastikan kapasiti bekalan air Johor bukan sahaja mencukupi untuk keperluan semasa, tetapi juga bersedia untuk menyokong pertumbuhan negeri sehingga tahun 2035.