Artikel

Ekonomi Malaysia Dijangka Terus Mengukuh, Pertumbuhan 2025 Berpotensi Capai 4.9% – DOSM

Tahun 2025 memperlihatkan ekonomi Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif dengan anggaran keseluruhan sekitar 4.9%. Jangkaan ini berupaya dicapai sekiranya pertumbuhan pada suku keempat 2025 mencecah kadar 5.7%.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam sidang Anggaran KDNK Awalan Suku Ke-4 hari ini, prestasi tersebut disokong oleh pertumbuhan sektor utama negara yang terus memberangsangkan, selain dipacu oleh permintaan domestik yang kian kukuh. Antara sektor yang dijangka memacu prestasi negara termasuklah sektor Perkhidmatan (5.4%), Pembuatan (6.0%), Pembinaan (11.9%), dan Pertanian (5.1%).

Lebih menarik, perkembangan ini turut didorong oleh sektor pelancongan dengan peningkatan aktiviti riadah semasa cuti umum dan cuti persekolahan. Selain itu, aliran perbelanjaan yang rancak ketika musim perayaan serta persiapan musim persekolahan dilihat berpotensi tinggi dalam membantu mengukuhkan lagi sumbangan kepada ekonomi Malaysia.