Artikel

Premis Perniagaan Abai Guna Bahasa Melayu Pada Papan Tanda, Perlu Dikenakan Tindakan Tegas – DBP

Ternyata terdapat pemilik premis perniagaan tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan pada pemaparan papan tanda perniagaan mereka di Malaysia – di mana meremehkan penggunaan bahasa kebangsaan pada pemaparan papan tanda perniagaan mereka.

Jelas notis Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tindakan mengetepikan penggunaan bahasa kebangsaan adalah satu bentuk pelanggaran nyata terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 – yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi iaitu merujuk kepada identiti negara.

Ini bermakna penggunaan bahasa Melayu pada papan iklan dan papan tanda premis perniagaan bukanlah satu pilihan – ia merupakan tindakan yang wajib dipatuhi oleh setiap pengusaha perniagaan.

Mengikut peraturan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bahasa kebangsaan mestilah dipapar secara jelas bersama saiz tulisan yang lebih besar dan diletakkan pada kedudukan yang lebih utama berbanding bahasa lain. Dan tindakan segelintir pihak yang meminggirkan tuntutan ini tidak sekadar mencerminkan prinsip identiti Malaysia mereka tetapi jelas menunjukkan berlakunya kelompongan pada penguatkuasaan di peringkat PBT berkaitan.

Maka DBP kini mendesak semua PBT mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas bagi memastikan tiada lagi kesalahan berulang berlaku pada arena perniagaan di Malaysia. Menerusi komitmen itu, DBP bersedia tampil membantu memberi kerjasama dalam meningkatkan pematuhan piawaian bahasa yang betul kalangan premis perniagaan di negara.