Artikel

Tourism Malaysia, Weixin Pay Jalin Kerjasama Strategik – Sasar Lonjak Ketibaan Pelancong China Tahun Ini

Bertepatan dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026, Tourism Malaysia kini mengumumkan kerjasama strategik bersama Weixin Pay dalam memudahkan aliran perbelanjaan pelancong China ketika di Malaysia. 

Usaha ini tidak sekadar meningkatkan lagi pengalaman pembayaran rentas sempadan bersama kumpulan pelancong tetapi turut memberi nilai tambah kepada peniaga tempatan. Di mana kerjasama melibatkan sokongan antara Weixin Pay dan Payments Network Malaysia (PayNet) terus diperdalam memandangkan semakin banyak PKS Malaysia kini mampu menerima pembayaran Weixin Pay melalui DuitNow QR, sekali gus memudahkan pelancong China membuat pembayaran menggunakan kaedah pilihan mereka.

Untuk makluman, industri pelancongan Malaysia terus memaparkan lonjakan sejak November 2025 apabila ketibaan pelancong antarabangsa mencapai 38.3 juta individu, meningkat 12% berbanding 2024. Dengan prestasi positif itu, usahasama ini dijangka dapat mengukuhkan lagi pertumbuhan arena pelancongan Malaysia. Berdasarkan rekod, pelancong China mencatatkan jumlah ketibaan sekitar 4.3 juta pelancong setakat November lalu, ini menunjukkan berlakunya peningkatan 25.9% secara tahunan.

Adanya pengukuhan kerjasama ini, ia berupaya meletakkan Malaysia selaku destinasi pelancongan yang berdaya saing, miliki sokongan digital antarabangsa yang luas dan mesra pengguna khususnya bersama pelancong antarabangsa.