Tatkala kadar penghunian pejabat di Malaysia alami penurunan kepada 77.8%, didapati Kuala Lumpur (KL) akan miliki pertambahan unit tersebut susulan terdapat 8 bangunan yang menyediakan ruang pejabat sedang dibina pada pusat bandar tersebut.
Pembangunan akan memperlihatkan 5.58 juta kaki persegi ruang pejabat baharu akan diraih KL.
Status itu sekali gus menunjukkan pasaran pejabat di KL akan terus sesak dan padat pada tahun ini. Pendedahan firma perunding hartanah Rahim & Co Property pada laporan pasaran 2025/2026 ini menuntut rangka strategi yang lebih baik bagi memastikan peranan ruang pejabat tersebut dipenuhi dan mengurangkan kadar kekosongan.
Ini kerana untuk separuh pertama 2025, terdapat 109.86 juta kaki persegi ruang pejabat tersedia di KL namun kadar penghunian bagi ruang tersebut hanya mencapai 72.2%. Ia bermakna terdapat 30.51 juta kaki persegi ruang kosong masih tersedia pada tempoh tersebut. Kekosongan ini kebanyakkannya melibatkan bangunan lama. Tambahan kebanyakan pejabat yang dibina sekitar 2000-an dilihat tidak lagi penuhi piawaian pejabat semasa dari aspek rekaan, tahap keselamatan dan prestasi alam sekitarnya. Ia sekali gus mendorong kepada lebihan kekosongan dan tidak menjadi pilihan pengusaha premis.
Menambahkan lagi tekanan, kemunculan hab pejabat baharu seperti Tun Razak Exchange (TRX), Merdeka 118 serta IOI City Towers telah menggandakan lagi persaingan pada kadar penghunian.
