Artikel

Selepas Venezuela Kini Greenland – Kenapa AS ‘Obses’ Untuk Kuasai Sumber Negara Lain?

Dunia hari ini tidak lagi sekadar medan melaungkan ideologi terbaik tetapi menjadi medan perebutan sumber yang semakin mengecil. Ya, itu yang sedang berlaku ke atas Amerika Syarikat (AS), yang dilihat semakin obses menguasai sumber asli negara lain. Itu yang berlaku ke atas Venezuela dan kini tumpuan terarah kepada sumber Greenland.

Mengapa AS Begitu Obses?

Faktor utama disebalik tindakan agresif ini adalah kerana China. Tahukah anda, ketika ini China menguasai hampir 80% rantaian bekalan nadir bumi dunia? Monopoli ini sekali gus menyebabkan Washington dalam dilema. Mahu atau tidak, AS terpaksa bermuka mengekalkan hubungan diplomatik bersama pesaing utamanya demi kelangsungan komponen teknologi di pasaran semasa.

Tetapi, diplomasi ini sekadar cerminan palsu, sekiranya penguasaan China dalam sektor ini tidak dicabar, AS berpotensi berdepan risiko dalam persaingan teknologi di pasaran hadapan.

Retorik Politik Tidak Sehaluan – Venezuela Kini Jadi Tahanan AS

Seperti yang umum ketahui, AS cukup terkenal dengan matlamat besarnya dalam menyimpulkan kerjasama merentasi pelbagai negara di seluruh dunia – hasrat yang sama turut dizahirkan kepada Venezuela, di mana AS memiliki matlamat untuk menjadikan negara ini antara pembekal utama minyak mereka. Akan tetapi retorik politik tidak sehaluan telah menyebabkan AS  gagal mencorakkan Venezuela mengikut acuan mereka.

Kegagalan tersebut telah membawa kepada tindakan AS menggunakan kuasa sekatan mereka dalam isu narkotik untuk melumpuhkan ekonomi Venezuela. Langkah agresif AS ini, secara amnya menunjukkan penguasaan ke atas sumber tenaga tradisional kini semakin sukar dan penuh dengan risiko politik yang tinggi. Terbaharu, Venezuela bersetuju serahkan sehingga 50 juta tong minyak kepada AS untuk dijual pada harga pasaran semasa. Segala tindakan ini, akan dikawal di bawah pemantauan Donald Trump.

Jadi mengapa sasaran seterusnya Greenland? Apa motif disebalik langkah penguasaan sumber negara ini?

Greenland – Sumber Yang Ingin Dimiliki AS, Sejak 100 Tahun Lalu

Jika Venezuela menjadi antara pemain dunia miliki rizab minyak yang besar melebihi 300 bilion tong – jadi apa tumpuan sumber di Greenland?

Sebenarnya sejak tahun 1867 lagi, AS telah mencuba nasib untuk memiliki Greenland namun rancangan itu tidak diteruskan secara rasmi susulan meraih penolakan daripada Denmark. Dan percubaan ini pernah diteruskan dengan lebih serius pada 1946 tetapi tidak berjaya dan disuarakan pada 2019, namun kekal ditolak.

Buat pengetahuan umum, Greenland dianggarkan memiliki 25% daripada simpanan nadir bumi dunia merangkumi sumber Lithium, Neodymium dan Praseodymium – yang mana sumber ini masih belum diterokai. Maka dengan peluang tersebut, sumber mineral ini dijangka dapat membantu AS mengekalkan pengeluaran teknologinya pada pasaran hadapan seperti penghasilan bateri untuk kenderaan elektrik (EV), turbin angin sehinggalah mengekalan komponen jet penjuang ketenteraan mereka.

Maka dengan potensi dan keupayaan sumber ini, obsesi AS ke atas Greenland sebenarnya bukanlah gurauan semata tetapi merupakan rangka strategi ekonomi yang telah lama dibentuk sejak hampir 100 tahun lalu.


Secara menyeluruhnya, biarpun belum ada kata putus akan penguasaan AS ke atas Venezuela mahupun Greenland. Langkah AS mengukuhkan kawalan globalnya secara langsung akan memberi kesan kepada pasaran semasa, di mana harga komoditi kekal tidak stabil serta peluang dalam sektor nadir bumi akan berdepan risiko tinggi susulan mewujudkan tekanan geopolitik misalnya kepada Malaysia melibatkan hubungan baik dengan AS mahupun China.

Maka selaku negara kecil dalam medan perdagangan ini, Malaysia perlu bijak mengemudi hala tuju ekonomi negara — memastikan kepentingan negara kekal dilindung tanpa berdepan risiko pertembungan kuasa negara maju yang boleh melumpuhkan pertumbuhan negara.