Artikel

Prasarana Sasar Miliki Lebih 900 Bas Elektrik – Menjelang Akhir 2028

Seperti yang umum ketahui, untuk fasa pertama dijangka sejumlah 250 unit bas elektrik akan diterima Prasarana pada segmen bas Rapid mulai Mac 2026 ini. Berlandaskan strategi peralihan secara berkala kepada penggunaan kenderaan elektrik (EV), Prasarana optimis jumlah tersebut akan alami pertambahan dengan kemasukan 645 bas elektrik menjelang Mac 2027 kelak.

Dengan komitmen ini, Prasarana dijangka akan memiliki sekitar tambahan 895 unit bas elektrik pada Disember 2028. Buat masa ini terdapat 15 unit bas EV sedia ada di bawah operasi BRT Sunway.

Matlamat yang dikongsikan pada sidang Laporan Prestasi Prasarana 2025 dan Pelan 2026 ini menjelaskan komitmen tambahan 645 unit bas EV ini akan melibatkan RM851 juta perbelanjaan dengan 480 bas EV akan disalurkan kepada perkhidmatan RapidKL dan 165 bas untuk RapidPenang.

Selain pertambahan unit bas EV, sejumlah 300 unit van elektrik melibatkan khidmat DRT turut akan direalisasikan pada Oktober 2026 ini dengan penyelesaian perolehan dicapai pada Mac 2028.

Buat pengetahuan umum, melalui peralihan kepada EV – Prasarana menyasarkan pembangunan unit poin pengecasan EV pada stesen LRT dan MRT. Untuk tahun 2025 sahaja, sekitar 105 poin pengecasan EV telahpun dibangunkan sementara bakinya 145 poin pengecasan dijangka selesai menjelang Oktober 2026 ini.