Artikel

Vietnam Berpotensi Jadi Raja Durian Di China – Atasi Dominasi Malaysia, Thailand

Sekiranya dahulu Malaysia dan Thailand menjadi pilihan utama China dalam mengimport bekalan durian, kelak takhta tersebut dijangka beralih kepada Vietnam.

Dalam masa 3 tahun sahaja Vietnam kini mendominasi lebih 47% permintaan durian dari China. Kedudukan itu sekali gus memberi persaingan tinggi kepada Malaysia dan Thailand yang sememangnya antara pemain utama pada pasaran Asia Tenggara termasuklah di China. Untuk tahun ini sahaja, Vietnam menyasarkan nilai eksport durian mereka mencapai sehingga $5 bilion.

Peningkatan kedudukan Vietnam pada pasaran durian China ini menurut laporan The Nation adalah kerana faktor logistik darat yang memperlihatkan penghantaran durian dari Vietnam ke China adalah lebih cepat dengan tempoh sehingga 36 jam sahaja. Situasi itu sekali gus memberi penjimatan kos penghantaran berbanding Malaysia dan Thailand.

Dengan kelebihan itu, persekitaran ini telah menyusut peratusan permintaan durian Thailand ke China yang ketika ini sekitar 50% berbanding 70% sebelum ini. Dan tekanan itu terus meningkat setelah Malaysia meraih kelulusan mengeksport durian segar ke China pada Jun 2024. Buat pengetahuan biarpun jumlah pembekalan durian Malaysia lebih kecil berbanding Vietnam namun dari aspek kualiti premium, Malaysia menjadi antara pilihan utama China.