Kesan ketidaktentuan maklumat serta kelewatan dalam mengemaskini gangguan perkhidmatan dilihat menjadi antara faktor yang menyebabkan lebih ramai pengguna memilih membawa kenderaan persendirian berbanding memanfaatkan khidmat pengangkutan awam di Lembah Klang.
Kegagalan kecil yang sering berlaku secara berulang kali ini menurut tinjauan Khazanah Research Institue (KRI) di bawah Mobiliti Lembah Klang (GKLMOB) sekali gus telah menghakis tahap keyakinan pengguna awam secara berkala akan kualiti pengangkutam awam.
Selain faktor sedemikian, isu seperti akses di stesen perkhidmatan yang tidak lengkap serta selamat turut menjadi faktor ketidakselesaan pengguna dalam memanfaatkan perkhidmatan bas awam. Kajian dapati kualiti hentian bas di Lembah Klang tidak sekata, terdapat hentian tidak memiliki kemudahan bumbung, tempat duduk, tong sampah dan lampu yang lengkap. Serta ada sebilangkan hentian bas sekadar memiliki makluman tiang di tepi jalan. Perbezaan ini sekaligus mempengaruhi persepsi keselamatan dan keselesaan pengguna ketika menggunakan perkhidmatan tersebut.
Masalah ini mungkin kelihatan remeh tetapi persekitaran tersebut boleh meningkatkan beban, risiko dan ketidakpastian yang perlu ditanggung oleh pengguna setiap hari. Dan jika situasi ini berterusan, ia tidak sekadar meningkatkan stigma berhubung sistem pengangkutan awam yang tidak bagus tetapi turut tidak membantu kesesakan aliran trafik negara berikutan kereta persendirian menjadi pilihan utama kesan sistem pengangkutan awam yang tidak efektif.
Untuk makluman umum, tinjauan ini menumpukan kepada pertimbangan utama pengguna serta meneliti prestasi sistem pengangkutam awam dalam kehidupan seharian dan pengaruhnya terhadap pengguna. Berdasarkan penelitian itu, KRI menyarankan agar penambahbaikan dilaksanakan pada paparan maklumat ketibaan bas ditingkatkan, mengukuhkan kawalan operasi, dan menambahbaik infrastruktur hentian bas – untuk mengembalikan semula keyakinan pengguna dan menjadi negara yang mesra pengangkutan awam.