Artikel

Permohonan Khas Kuota Pekerja Asing Di Malaysia Akan Dibuka – Bermula 19 Januari 2026

Kementerian Dalam Negeri (KDN) kelak akan membuka tempoh khas bagi membenarkan permohonan kuota penggajian pekerja asing dilaksanakan – bermula 19 Januari 2026 sehingga 31 Mac 2026 ini. 

Pembukaan permohonan ini menurut notis KDN semalam, melibatkan semua sektor dan subsektor yang telah diluluskan kerajaan pada 1 Oktober 2025 lalu. Ini termasuklah sektor perkhidmatan di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sebelum ini ditutup lebih awal.

Dan permohonan tersebut dijelaskan perlu dilaksanakan secara terus oleh majikan tanpa menggunakan ejen atau pihak ketiga di Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing KDN. Selanjutnya segala pertimbangan permohonan akan diteliti dan tertakluk kepada syarat kelayakan pekerja asing yang telah dipersetujui.

Ini antara sektor dan subsektor yang terlibat:

  • Pertanian
  • Perladangan
  • Perlombongan dan Pengkuarian
  • Restoran
  • Pembersihan dan Pencucian
  • Borong dan Runcit
  • Dobi
  • Gudang
  • Kargo
  • Pengawal Keselamatan
  • Barangan Logam dan Lusuh
  • Perniagaan pertukangan emas, tekstil, gunting rambut
  • Pembinaan – projek terpilih
  • Perkilangan – melibatkan pelaburan baharu di bawah pengesahan MIDA