Artikel

Kerajaan Selangor Digesa Papar Butiran Kewangan Konsesi Parkir – Kesan Agihan Hasil 50%

Tindakan Selangor menswastakan sistem tempat letak kenderaan atau parkir melalui skim Selangor Intelligent Parking (SIP) dilihat telah menimbulkan beberapa isu akan keuntungan besar yang diraih syarikat swasta – tatkala peranan itu sepatutnya boleh dilaksanakan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mengekalkan hasil negeri.

Susulan itu, kini Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa pendedahan telus dilaksanakan kerajaan Selangor untuk mengetahui status kewangan bersama konsesi parkir.

Ketiadaan butiran lanjut akan pengagihan hasil dan tempoh pulangan modal telah menimbulkan kebimbangan berkenaan kemungkinan wujudnya konflik kepentingan. Di bawah skim ini, PBT dilaporkan perlu berkongsi sehingga 50% hasil kutipan dengan pemegang konsesi.

Namun kerajaan negeri menurut laporan Malaysiakini menegaskan langkah penswastaan itu didorong hasil sokongan pelaburan syarikat swasta bernilai RM200 juta dengan pemasangan 1,800 unit CCTV serta teknologi pintar pada sistem parkir baharu. Biarpun begitu, pihak kerajaan bersedia untuk memberi kerjasama pendedahan dokumen walaupun mengakui proses tersebut mungkin berdepan halangan dengan prinsip kerahsiaan bersama pihak swasta.