Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan penamatan perkhidmatan tren Ekspres Selatan bagi laluan Gemas-JB Sentral-Gemas berkuat kuasa 1 Januari 2026, selepas 9 tahun beroperasi.
Menurut notis rasmi KTMB, langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi penyelarasan kumpulan untuk mengoptimumkan perkhidmatan penumpang di jajaran selatan. Ia juga selaras dengan pembangunan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru yang kini memasuki fasa baharu.
Penamatan ini akan melibatkan enam perkhidmatan Ekspres Selatan No. 41, 42, 43, 44, 45 dan 46.
Sebagai alternatif, mobiliti penumpang di jajaran tersebut akan diperkukuhkan menerusi pengenalan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) terus ke JB Sentral. Operasi ETS bagi laluan selatan ini disasarkan bermula secara rasmi pada tarikh yang sama, iaitu 1 Januari 2026, sekali gus menawarkan tempoh perjalanan yang lebih singkat dan selesa bagi pengguna.