Artikel

Terima Kasih 2025 – Ini 10 Perkara Yang Akan Diingati Rakyat Malaysia

Ringgit Terus Papar Lonjakan Prestasi

Ringgit dilihat secara konsistennya terus memaparkan prestasi yang kukuh apabila berkembang 5.3% sejak awal tahun sehingga pertengahan November – berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia yang lain. Tidak hanya itu, prestasi Ringgit turut memaparkan lonjakan 8.2% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada tempoh yang sama.

Jelas data Bank Negara Malaysia (BNM), prestasi ini memperlihatkan Ringgit lebih stabil berbanding dolar AS dengan penambahan nilai sebanyak 0.05% – didorong faktor luaran dan dalam negeri. Di mana langkah Perbendaharaan AS melonggarkan dasar monetari pada September lalu telah menyokong nilai Ringgit.

Malah perjanjian perdagangan Malaysia bersama pasaran antarabangsa yang semakin rancak turut dilihat meredakan ketidakpastian pasaran dan membantu menambahbaik sentimen pasaran dan ia sekaligus menyokong perkembangan Ringgit pada tahun ini.

Gaji Minimum Naik Kepada RM1,700

Tahun ini semua majikan di seluruh Malaysia perlu melaksanakan sepenuhnya Perintah Gaji Minimum RM1,700 sebulan. Ini termasuklah kumpulan majikan yang memiliki kurang 5 pekerja di dalam operasi.

Seperti yang umum ketahui sebelum ini, pelaksanaan tersebut dikuatkuasakan ke atas kumpulan majikan yang miliki 5 pekerja ke atas sahaja pada 1 Februari 2025 – sebagaimana yang dilaras di bawah pembentangan Belanjawan 2025. Pelaksanaan itu memberi tempoh 6 bulan kepada operasi kecil untuk menyesuaikan kewangan mereka sehingga 31 Julai ini. Maka dengan penamatan tempoh pengecualian itu, semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja perlu melaksanakan tuntutan gaji minima ini.

Jika didapati masih terdapat majikan ingkar akan pematuhan tersebut – kumpulan ini boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja dan boleh dipenjara tidak lebih 5 tahun di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

 

Kesan Tarif 19% – Malaysia Setuju Belanja Lebih $150 Bilion Bersama AS

Semua pihak sedia maklum, Amerika Syarikat (AS) pada April 2025 telah mengeluarkan senarai pengenaan tarif timbal balik ke atas sebilangan negara termasuklah Malaysia dengan pengenaan 24% tarif ke atas barangan import dari Malaysia mulai 9 April 2025 ini.

Namun hasil semakan semula pengenaan tarif ke atas barangan Malaysia alami peningkatan kepada 25%. Akan tetapi hasil rundingan semula, AS bersetuju mengurangkan kadar tersebut kepada 19% bagi tarif import ke atas semua produk Malaysia. Ini menjadikan kadar tersebut lebih rendah berbanding tarif negara seperti Thailand, Indonesia dan Kemboja sementara Vietnam pula 20% dan Brunei 25%.

Disebalik penurunan kadar tarif import tersebut, terdapat harga yang perlu dilunaskan negara – antaranya adalah Malaysia bersetuju membelanjakan sehingga $150 bilion bagi perolehan pembelian barangan bersama syarikat MNC dalam tempoh 5 tahun. Selain itu, Malaysia juga akan meningkatkan pembelian gas asli cecair (LNG) melalui Petronas dari AS melibatkan $3.4 bilion setahun, disusuli perolehan kapal terbang Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) bernilai $19 bilion, perolehan produk telekomunikasi oleh Telekom Malaysia bernilai $119 juta, perolehan arang batu oleh TNB bernilai $42.6 juta setahun dan tindakan pelaburan rentas sempadan di AS untuk 10 tahun bernilai $70 bilion.

SST Diperluaskan – Barang Premium, Khidmat Swasta Dikenakan Cukai Lebih Tinggi

Berkuat kuasa 1 Julai lalu, pentadbiran negara melaksanakan semula pelarasan kadar Cukai Jualan dan perluasan skop Cukai Perkhidmatan secara bersasar selari dengan matlamat yang digariskan pada Belanjawan 2025 – Oktober lalu.

Menurut notis rasmi Kementerian Kewangan (MOF), tindakan ini untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara dalam meluaskan asas percukaian semasa tanpa membebankan kos rakyat. Selain mengurangkan tekanan kos asas usaha ini turut bertujuan melandaikan dan meminimumkan kesan kos ke atas kumpulan peniaga kecil (PMKS).

22 Juta Rakyat Malaysia Terima SARA RM100

Bersempena sambutan Merdeka pada tahun ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara mengejutnya mengumumkan pemberian wang tunai RM100 one-off kepada 22 juta rakyat negara yang berusia 18 tahun ke atas – bagi membolehkan kumpulan ini meraih akses pembelian barangan di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Dana yang dikreditkan melalui MyKad itu sekaligus membantu seluruh rakyat Malaysia dewasa meringankan bebanan tunai mereka dengan berbelanja di lebih 7,300 premis runcit yang berdatar dengan akses pembelian ke atas lebih 100,000 barangan keperluan pada 14 kategori. Ini termasuklah seperti beras, telur, barangan kebersihan, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.

Malaysia Beri BUDI95 Kepada Seluruh Rakyat Malaysia Yang Memiliki Lesen Memandu – Berkadar RM1.99 Seliter

Sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan Malaysia – bermula 30 September lalu, semua rakyat yang berkelayakan akan mula menerima kadar RON95 yang lebih rendah kepada RM1.99 seliter di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Ini bermakna semua warganegara yang berusia 16 tahun ke atas dan miliki lesen memandu yang sah adalah kumpulan yang berkelayakan untuk menikmati subsidi tersebut menerusi pengesahan menggunakan MyKad. Buat pengetahuan umum, akses ini membenarkan pengguna yang layak meraih akses sehingga 300 liter sebulan.

Sementara kumpulan pengguna yang bukan warganegara dan individu yang tidak layak – akan kekal dikenakan harga pasaran RON95 sekitar RM2.60 seliter.

Malaysia Jadi Pengerusi ASEAN Ke-47

Tahun 2025 memperlihat Malaysia selaku Pengerusi ASAN ke-47. Apa yang menariknya selaku tuan rumah pada sidang kali ini terdapat sejarah berjaya dilakarkan oleh Malaysia pada pelaksanaan sidang ini iaitu penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai negara ke-11 ASEAN.

Pengumuman ini bukan sahaja melengkapkan peta geografi Asia Tenggara dalam blok tersebut, malah menandakan pengembangan pertama ASEAN dalam tempoh lebih 20 tahun. Penyertaan rasmi Timor-Leste bukan sekadar simbol diplomasi, tetapi adalah hasil keteguhan Malaysia yang sejak sekian lama menyokong penyertaan negara itu ke dalam ASEAN melalui latihan, bantuan teknikal dan pengukuhan kapasiti.

Sesi Sekolah Di Malaysia – Kembali Bermula Pada Setiap Januari

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan sesi persekolahan untuk Kalendar Akademik Tahun 2026 akan kembali bermula pada bulan Januari.

Makluman ini bermakna Sekolah Kebangsaan dan Sekoah Bantuan Kerajaan pada sesi 2026 akan memulakan sesi pendidikan mereka pada 11 Januari sehingga 31 Disember 2026. Tarikh 11 Januari 2026 itu bagaimanapun tertakluk untuk kategori sekolah Kumpulan A iaitu negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara sekolah pada kategori Kumpulan B pula akan memulakan sesi persekolahan mereka pada tarikh 12 Januari 2026 sehingga 31 Disember 2026. Kumpulan B mewakili negeri di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, KL, Labuan dan Putrajaya.

MyKad Baharu Akan Diperkenalkan, Antaranya Dilengkapi Kod QR – Mulai 1 Jun 2026

Selari dengan matlamat kerajaan untuk menambahbaik tahap keselamatan data identiti rakyat Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kelak akan melancarkan kad pengenalan generasi baharu – yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.

Penampilan kad pengenalan baharu ini mengikut makluman Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada sidang Parlimen tahun ini  – akan melibatkan beberapa kategori iaitu MyKad, MyTentera dan MyPoCA(iaitu individu di bawah pengawasan perundangan). Lebih menarik, kad pengenalan baharu ini turut akan menyertakan kod QR bagi membolehkan pengesahan secara digital dapat dilaksanakan rakyat negara.

Dengan penambahan ciri tersebut, ia tidak sekadar membantu meningkatkan tahap keselamatan data rakyat tetapi turut membantu membendung pemalsuan data di pasaran semasa.

PM Anwar Rombak Kabinet Malaysia – Umum Perubahan, Lantikan Menteri Baharu

Susulan terdapat kekosongan 4 portfolio utama pada senarai kementerian di dalam kabinet Malaysia sebelum ini – Perdana Menteri Anwar Ibrahim bulan ini secara rasminya laksana rombakan pada senarai asal anggota pentadbiran Malaysia semasa. Pengumuman rasmi itu ternyata memperlihatkan sejumlah pertukaran dan lantikan baharu dilaksanakan pada beberapa kementerian.

Berlandaskan pengumuman itu, lantikan baharu telahpun laksana angkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 16 Disember lalu – bagi menggalas jawatan kementerian pada bulan ini. Mengikut perubahan itu, seramai 28 menteri dan timbalan menteri dijelaskan telah bertukar porfolio dan antaranya merupakan lantikan baharu.