Artikel

AS Mahu Kenakan Tarif Baharu Ke Atas Cip China – Namun Tangguh Sehingga Jun 2027

Perang tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan China dilihat terus berlaku, terbaharu AS memaklumkan akan mengenakan kadar tarif baharu ke atas cip China namun perihal ini hanya akan dilaksanakan sehingga Jun 2027. 

Penangguhan ini menurut laporan The Edge, adalah tindak balas AS untuk mengekalkan perjanjian perdagangan bersama China biarpun situasi tersebut dilihat semakin meruncing.

Tarif baharu itu dijelaskan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) akan tertumpu kepada teknologi cip semasa China yang dilihat terus menguasai industri semikonduktor dunia. Kedudukan itu sekali gus mewujudkan ketidakseimbangan pada permintaan pasaran antarabangsa. Menerusi makluman itu, kadar tarif sedemikian akan diumumkan sekurangnya sebulan sebelum dikuatkuasakan.