Bermula 1 Januari 2026 kelak, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan laksana Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) fasa pertama pada pasaran Malaysia. Dengan komitmen itu, LHDN memaklumkan tiada pengenaan penalti selama setahun bagi kesalahan mengemukakan Borang Nyata Duti Setem (BNDS) di bawah sistem tersebut sehingga 31 Disember 2026.
Tindakan ini adalah sebahagian langkah untuk LHDN mendidik, memberi ruang kepada pengguna duti negara memahami dan melaksanakan sendiri penyeteman secara elektronik dengan lebih cekap. Usaha ini selari dengan penyediaan akses Sistem e-Duti Setem yang telahpun dibuka pada minggu lalu di portal MyTax.
Dengan pengecualian tersebut, Rnggt melihat usaha ini akan memudahkan pembayar duti untuk mengemukakan BNDS mereka dengan lebih lengkap – antaranya meliputi dokumen duti melibatkan kontrak pekerjaan, perjanjian sewa premis, serta perjanjian jual beli saham. Buat pengetahuan umum, sistem ini akan dilaksana secara berperingkat dan fasa satu melibatkan dokumen sedemikian – sementara dokumen yang tidak terlibat kekal menggunakan pendekatan lama iaitu penilaian daripada pegawai LHDN.
Maka selari dengan perubahan tersebut, kumpulan pembayar duti dinasihatkan untuk terus menyimpan rekod atau dokumen asal selama tujuh tahun bagi tujuan audit oleh LHDN di masa hadapan, memandangkan sistem taksir sendiri ini sangat bergantung kepada integriti data yang dimasukkan oleh pengguna.