Setelah berjaya membina empayar dengan lebih 1,000 cawangan fizikal, jenama kopi tempatan ZUS Coffee, kini meluaskan fokus perniagaan mereka ke arah pasaran minuman sedia diminum (RTD) dalam bentuk tin dan botol.
Langkah strategik ini menurut Nikkei Asia – menyaksikan produk ZUS Coffee kini sudah mula membanjiri rak-rak di sekitar 21,000 rangkaian runcit di seluruh Malaysia, termasuk pasar raya besar dan kedai serbaneka.
Melalui komitmen ini ZUS Coffee menjangkakan segmen runcit tersebut akan menyumbang peratusan hasil yang jauh lebih besar dalam tempoh 2 hingga 3 tahun mendatang. Ini kerana dengan perluasan perniagaan ke pasaran FMCG, ZUS tidak lagi hanya bergantung kepada pelanggan yang datang ke kedai, sebaliknya membawa jenama mereka terus ke dalam peti sejuk di rumah dan pejabat pengguna.
Biarpun fokus kini beralih kepada produk RTD, pertumbuhan cawangan fizikal tetap menjadi keutamaan. ZUS Coffee merancang pembukaan 200 cawangan baharu pada tahun 2026, sekali gus memperkukuh jenama di pasaran Indonesia dan Filipina sebagai rangkaian kopi dominan di Asia Tenggara.
Selain jualan runcit fizikal, ZUS Coffee juga menjual produk RTD secara atas talian, termasuk melalui laman webnya sendiri dan platform e-dagang utama.