Apollo Food Holdings Bhd melaporkan penurunan pendapatan suku tahunan buat kali kedua berturut-turut apabila untung bersih suku kedua merosot kira-kira 30% tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM7.45 juta daripada RM10.62 juta.
Penurunan pendapatan tersebut disebabkan oleh jualan yang lebih rendah dan kos operasi yang lebih tinggi.
Sementara hasil bagi suku kedua berakhir 31 Okt 2025 (2QFY2026) juga turut susut 2.7% kepada RM75.26 juta daripada RM77.34 juta pada 2QFY2025. Sebelum ini, untung bersih suku pertama kumpulan turut jatuh 34.32% y-o-y kepada RM6.36 juta berikutan jualan eksport yang rendah dan perbelanjaan operasi yang meningkat.
Biarpun mencatatkan keputusan yang lebih lemah, pengeluar produk makanan coklat dan kek lapis itu tetap optimis akan pemulihan jualan serta pertumbuhan pendapatan bagi jangka masa panjang. Syarikat menyatakan terdapat tanda-tanda penstabilan susulan rombakan model pengedaran atau route-to-market domestik mereka.
Secara menyeluruh, prestasi suku pertama dan kedua (SPTK2026) telah memperlihatkan Apollo Food alami kejatuhan 31% untung bersih kepada RM13.80 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya sekitar RM20.29 juta. Kedudukan ini turut memperlihatkan penurunan 6% hasil kepada RM140.33 juta.
Melangkah ke hadapan, Apollo Food akan terus berwaspada terhadap tekanan inflasi pada input dan kos operasi. Tatkala memberi tumpuan kepada kawalan kos yang lebih ketat dan kecekapan operasi untuk melindungi margin keuntungan. Kumpulan juga kini sedang melabur dalam automasi dan naik taraf proses untuk memacu penambahbaikan struktur dalam produktiviti dan kecekapan kos jangka panjang.