Landskap kenderaan elektrik (EV) di Malaysia kini semakin rancak. Sejajar dengan pertumbuhan pesat ini, EP Manufacturing Bhd (EPMB) telah memeterai kerjasama strategik dengan pengeluar EV terkemuka, XPENG, untuk menjadi rakan pemasangan tempatan (CKD) bagi unit kenderaan elektrik pintar XPENG di kilang mereka di Melaka.
Kerjasama penting ini mengikut laporan bukan sahaja berfungsi untuk memperkukuh integrasi XPENG dengan sokongan pengeluaran tempatan, tetapi juga dijangka akan memacu ekosistem pekerjaan di Malaysia. Melalui inisiatif ini, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi akan diwujudkan, sekaligus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja tempatan secara berkala.
EPMB, dengan pengalaman lebih 40 tahun sebagai pembekal Tahap 1 dalam rangkaian automotif antarabangsa, dilihat memiliki kepakaran kritikal. Pengalaman ini dijangka mampu memperkukuh kedudukan XPENG dalam usaha meluaskan sistem operasi kereta pintar mereka di pasaran tempatan.
Hab pengeluaran EV di Melaka juga turut dijelaskan sebagai sebahagian daripada strategi global XPENG yang selari dengan inisiatif pemasaran mereka di Eropah dan Asia Pasifik.
XPENG telah menunjukkan prestasi kukuh di pasaran global, dengan rekod jualan 39,773 unit dalam tempoh 11 bulan. Syarikat tersebut kini memiliki rangkaian perniagaan yang meluas, dengan 321 cawangan dan kehadiran di 52 buah negara. Kerjasama dengan EPMB dilihat mampu meningkatkan tahap perluasan EV pintar XPENG di pasaran Malaysia dan rantau ASEAN yang lebih luas.