Bagi mencapai status negara maju, Malaysia perlu pastikan sekurangnya 70% peluang pekerjaan berasaskan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) tersedia di pasaran ekonomi tempatan.
Keperluan kadar peratusan ini dilihat seiring pemerkasaan bidang teknologi di pasaran semasa dan hadapan. Menurut laporan Bernama bersama Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI Kementerian Sains. Teknologi dan Inovasi (MOSTI) – negara perlu pastikan 7 daripada 10 pekerjaan didominasi berasaskan STEM khususnya bidang kejuruteraan, seni bina dan sains.
Keperluan kadar 70% ini mencerminkan sejauh mana pemerkasaan teknologi telah menjadi teras kepada ekonomi moden.
Namun, hasrat tersebut berdepan dengan jurang yang signifikan di peringkat pendidikan. Setakat ini, penyertaan pelajar dalam bidang STEM masih di bawah sasaran dengan 50.8%. Maka penambahbaikan di tahap pendidikan sedang dilaksanakan secara berkala untuk pastikan 6 daripada 10 pelajar negara berada dalam aliran STEM dan memastikan Malaysia dapat menyediakan bakat untuk mengisi 70% pekerjaan kritikal tersebut.