Capital A dan Standard Chartered Bank Malaysia hari ini secara rasminya mengumumkan pemeteraian Surat Hasrat (LOI) untuk bersama-sama meneroka pembangunan dan pengujian stablecoin dalam denominasi Ringgit melalui Pusat Inovasi Aset Digital (DAIH) di bawah pemantauan Bank Negara Malaysia (BNM).
Inisiatif ini memperlihatkan Standard Chartered Malaysia akan bertindak sebagai penerbit stablecoin Ringgit untuk mereka konsep, menguji, dan menyampaikan inovasi ini. Capital A pula akan membangunkan, menguji, dan berpotensi merintis kes penggunaan aset digital secara borong.
Maka ke arah kerjasama itu, kedua-dua Capital A dan Standard Chartered Malaysia kini akan menjalankan penilaian lanjut mengenai pertimbangan teknikal, kawal selia dan komersial di bawah DAIH BNM.
Cadangan inisiatif ini sejajar dengan misi Capital A untuk menyampaikan pengalaman yang lebih pintar, lebih pantas dan lebih terhubung merentasi ekosistemnya, mengukuhkan keupayaan perkhidmatan Kumpulan bersama pengguna dan rakan kongsi. Manakala Standard Chartered melihat peluang kerjasama sebagai suatu langkah penting berikutan aset digital kini jadi tumpuan selaku pemangkin khidmat kewangan di masa hadapan.