Sektor pembinaan Malaysia kini dilihat terus memaparkan kemajuan akses apabila minggu lalu, secara rasminya telah melancarkan Kad Pendaftaran Personel Binaan Baharu – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) – iaitu sebuah kad digital pelbagai fungsi yang menggabungkan identiti pekerja binaan, rekod digital, kehadiran tapak bina, dompet digital dan pembayaran gaji tanpa tunai dalam satu medium bersepadu.
Pengenalan kad hijau ini, secara langsung menyokong peningkatan ketelusan, keselamatan dan tadbir urus tapak pembinaan di seluruh Malaysia.

Jelas CIDB pada notis pelancaran, kehadiran akses digital turut akan membantu pihak berkuasa mengetahui penglibatan pengurusan dan pekerja binaan pada tapak pembinaan. Rekod tersebut sekali gus membantu mengukuhkan penguatkuasaan dan piawaian buruh beretika.
Secara menyeluruh, seramai 1.17 juta personel binaan yang berdaftar dengan CIDB kini menjadi kumpulan perintis kepada pengguna kad digital tersebut. Dengan penambahbaikan itu, akses ini tidak sekadar meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan prestasi pembinaan di pasaran semasa tetapi turut membantu negara meningkatkan ekosistem pengurusan tenaga kerja asing di dalam sektor pembinaan secara berkala.