Memahami kekangan masa yang didepani pengguna negara dalam menguruskan keperluan kewangan mereka, RHB Bank hari ini menerusi notis medianya memaklumkan akan melanjutkan waktu operasi bagi semua cawangan RHB dan RHB Premier di seluruh Malaysia – berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Dengan tindakan itu, lanjutan waktu operasi ini dijelaskan akan dilaksana pada dua kategori. Kategori pertama melibatkan semua negeri kecuali Kelantan dan Terengganu – di mana waktu operasi di negeri ini akan dilanjutkan bermula jam 9.15 pagi hingga 5 petang (Isnin-Khamis), hingga 4.15 petang (Jumaat). Manakala kategori kedua pula negeri Kelantan dan Terengganu pula akan alami lanjutan waktu operasi 9.15 pagi hingga 5 petang (Ahad-Rabu) dan sehingga 4.15 petang (Khamis).

Perubahan ini bagaimanapun hanya dilaraskan untuk cawangan RHB Bank di luar gedung beli-belah. Sementara untuk cawangan yang terletak dalam gedung beli-belah pula akan kekalkan waktu operasinya mengikut premis tersebut. Melalui makluman ini, diharap para pengguna dapat memanfaatkan lanjutan waktu operasi dalam menyelesaikan urusan kewangan pada tahun 2026.