Pemilik anjing kelak berpotensi perlu menggunakan mikrocip pada haiwan peliharaan mereka bagi tujuan merekodkan data pemilikan dan status kesihatan haiwan tersebut.
Langkah ini menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang dalam semakan bagi tindakan melaksanakan sistem pendaftaran digital bersepadu untuk anjing peliharaan di Malaysia. Menurut perkongsian ketika sidang Dewan Negara semalam, data ini akan membantu pihak berkuasa mengetahui status pelesenan, vaksinansi, pemandulan dan pemantauan anjing peliharaan yang terlibat.
Pertimbangan itu adalah antara tindakan strategik yang sedang dirangka oleh KPKT berhubung kawalan pembiakan serta menjadi panduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memahami peranan mereka untuk langkah pengawalan serangan anjing liar di Malaysia.
Sekiranya usul ini dilaksanakan, ia sekali gus turut menangani isu anjing terbiar – dengan meningkat kesedaran masayarakat untuk menjadi pemilik haiwan yang lebih bertanggungjawab dan tidak membuang anjing peliharaan mereka di kawasan awam.