Walaupun pasaran domestik kopi kini mencapai nilai lebih $1 bilion, Malaysia masih bergantung pada import biji kopi bagi memenuhi permintaan semasa susulan kadar sara diri (SSR) yang rendah iaitu sebanyak 33.2% pada 2024.
Angka SSR ini bermakna pengeluaran kopi di Malaysia mampu sekadar memenuhi 33.2% daripada jumlah keseluruhan kopi yang diguna, diminta oleh penduduk negara. Situasi ini sekali gus menjelaskan mengapa Malaysia masih memiliki kadar import biji kopi yang tinggi.
Memahami permintaan yang terus kukuh, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Pertanian (DOA) pada notis Dewan Negara hari ini menjelaskan industri kopi akan terus ditambahbaik. Ketika ini penanaman kopi tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak. Di mana ketiga negeri memperlihatkan penanaman tiga varieti utama kopi iaitu Liberica (87%), Robusta (10%) dan Arabica (3%).
Pertumbuhan itu turut akan disokong dengan kerjasama penyelidikan bersama MARDI dalam meneroka varieti yang lebih produktif serta laksana pengurusan pertanian yang lebih moden. Tidak hanya itu kementerian juga menyediakan geran sehingga RM50,000 untuk membantu kumpulan muda menceburi industri bagi merancakkan lagi hasil ekonomi negara.