Artikel

Bank Tawar Diskaun Ihsan – Buat Penyelesaian Awal Pinjaman Kereta Mulai 2026

Untuk makluman umum, Dewan Negara kini telah mencapai persetujuan meluluskan Rang Undang-Undang Akta (Pindaan) Sewa Beli (HPAA) untuk pasaran Malaysia.

Selari dengan kelulusan itu, persatuan perbankan memaklumkan kadar rata dan kaedah Peraturan 78 akan dimansuhkan kepada pelanggan baharu. Tindakan ini bermakna akan terdapat perubahan pada kaedah pengiraan pembiayaan sewa beli kenderaan ke atas pengguna.

Bagi memastikan keadilan kekal berpihak kepada kumpulan pengguna sedia ada, buat pelanggan yang telah menandatangani perjanjian sewa beli sebelum HPAA ini dikuatkuasakan – maka industri bank akan menyediakan diskaun tanggung rugi iaitu diskaun ihsan bagi pengguna yang laksana penyelesaian awal pinjaman. 

Diskaun ihsan ini dijelaskan akan mula berkuat kuasa sekitar suku pertama 2026, sebaik sahaja akta tersebut dilaksanakan.

Bersama kelulusan HPAA ini, ia sekaligus akan memansuhkan amalan bank untuk tindakan mengenakan caj faedah penuh ke atas pengguna yang laksana penyelesaian awal pinjaman sewa beli mereka di pasaran hadapan kelak.