Artikel

Status Potongan Cukai Badan Amal Kini Dihadkan Maksimum 10 Tahun – LHDN

Selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan tabir urus dalam sesebuah organisasi yang menerima faedah seperti pelepasan dan pengecualian cukai – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini menetapkan had tempoh kelulusan maksimum selama 10 tahun bagi layanan cukai buat institusi, organisasi dan tabung (IOT) di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967. 

Apa itu layanan cukai? Ia merujuk kepada keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan melalui LHDN. Dalam konteks 44(6), layanan ini bukan diberikan kepada IOT itu sendiri, tetapi kepada penderma yang menyumbang kepada IOT tersebut. Maka menerusi had kelulusan layanan cukai ini ia membawa maksud – tempoh rasmi badan amal memberi insentif potongan cukai kepada penderma berkaitan.

Perubahan dasar yang telah berkuatkuasa pada 27 November lalu ini bertujuan untuk pastikan badan-badan amal yang diluluskan sentiasa mematuhi objektif asal penubuhan mereka dan mengelakkan sebarang penyalahgunaan status pelepasan cukai. Dengan menetapkan had 10 tahun, LHDN dapat melaksanakan semakan dan audit yang lebih kerap. Ini mewajibkan setiap institusi yang diluluskan untuk membuktikan secara berkala bahawa operasi dan perbelanjaan dana mereka adalah telus dan benar-benar menjurus kepada tujuan amal awam, sekali gus melindungi kepentingan para penyumbang dan pembayar cukai.

Secara mudahnya, setiap badan amal perlu memohon pembaharuan kelulusan pada setiap maksimum kelulusan 10 tahun insentif operasi mereka. Tindakan ini akan membolehkan penderma badan amal tersebut terus meraih manfaat pelepasan dan potongan cukai pendapatan.

Kegagalan untuk memohon semula atau  memenuhi kriteria yang ditetapkan boleh menyebabkan badan amal kehilangan status 44(6), yang secara langsung akan menjejaskan keupayaan mereka untuk menarik pengumpulan dana dan akan dikenakan cukai. Penyumbang juga dinasihatkan untuk sentiasa menyemak status terkini sesebuah badan amal sebelum membuat sumbangan bagi memastikan tuntutan potongan cukai mereka sah.

Maka berlandaskan penjelasan itu, LHDN memberi peringatan buat badan amal yang akan berdepan tamat tempoh kelulusan pada 31 Disember 2025 ini, akan menerima notis had kelulusan 10 tahun oleh pihak berkuasa. Namun untuk badan amal yang telahpun perbaharui tempoh kelulusan tuntutan sebelum 27 November, dijelaskan hanya akan menggunapakai had 10 tahun itu selepas tempoh kelulusan semasa mereka berakhir.

Dengan peringatan itu, bagi mana-mana IOT yang kurang jelas akan dasar baharu ini – LHDN mengalukan sebarang pertanyaan pada khidmat pelanggan mereka atau laksana borang maklum balas di laman rasmi HASiL untuk tindakan lanjut.