Artikel

PTPTN: Lebih 64,000 Peminjam T20 Kekal Culas, Miliki Tunggakan RM257.56 Juta

Seramai 64,618 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memiliki tunggakan RM257.56 juta didapati adalah kalangan keluarga berpendapatan tinggi iaitu perolehan melebihi RM8,000 sebulan.

Perkongsian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada sidang Parlimen ini turut memperincikan kategori pendapatan keluarga kumpulan peminjam. Di mana seramai 196,115 adalah dari keluarga bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan memiliki pendapatan tidak lebihi RM8,000. Kumpulan peminjam ini dijelaskan berdepan tunggakan sekitar RM539.35 juta.

Sementara 967,796 peminjam pula adalah kalangan keluarga penerima STR dengan tunggakan sekitar RM10.23 bilion.

Berdasarkan perincian mengikut kelas pendapatan itu, KPT turut menjelaskan berdasarkan data berasingan – seramai 911,788 peminjam PTPTN daripada keluarga penerima STR telahpun menyelesaikan bayaran balik pinjaman berjumlah sekitar RM13.89 bilion, diikuti 58,921 peminjam bukan dari keluarga penerima STR telah melunaskan pinjaman berjumlah RM703.45 juta dan seramai 136,196 peminjam daripada keluarga pendapatan tinggi pula telah melangsaikan pinjaman mereka berjumlah RM1.54 bilion.