Sepanjang 10 tahun ini, Shopee melihat pertumbuhan kumpulan peniaga mikro kecil dan sederhana (PMKS) pada mediumnya terus melonjak sehingga mencapai lebih $270 bilion dalam jualan bersama Shopee.
Prestasi itu menurut perkongsian notis media Shopee pada hari ini, didorong akan pertambahan penyertaan PMKS yang dilihat secara puratanya meningkat dua kali ganda pada setiap tahun. Lebih menarik 80% daripada peniaga tersebut adalah kalangan mereka yang beroperasi di luar bandar-bandar utama dan lebih 140 bilion barangan dibeli oleh pengguna yang tinggal di luar bandar utama.

Data ini secara langsung membuktikan arena e-dagang tidak sekadar mewujudkan peluang ekonomi tetapi turut tidak memiliki sebarang had dalam membantu sesebuah perniagaan berkembang merentasi pelbagai kawasan permintaan. Selain akses pasaran, penjual PMKS terus memperkukuh kemahiran dan keyakinan digital mereka melalui bahan pembelajaran di Shopee dengan lebih 7.6 juta penjual PMKS telah menyertai program Shopee University, yang merangkumi lebih 1,500 modul pembelajaran dalam talian serta bengkel fizikal di 318 bandar di Asia Tenggara dan Taiwan.
Tidak hanya itu, bagi meraih capaian pengguna yang lebih besar – perkembangan itu turut disokong menerusi Shopee Affiliate Marketing Solutions (AMS). Dengan sokongan pencipta kandungan dan pempengaruh, penjual PMKS dapat meningkatkan kapasiti jualan mereka kepada 30%. Sementara untuk peniaga yang bersedia meluaskan jualan ke pasaran luar negara – Shopee turut hadir dengan akses Program Eksport Shopee (SEP). Sejak 2018, lebih 2.1 juta peniaga telah meraih manfaat perluasan capaian jualan produk bersama Shopee.