Bagi mengawal peningkatan hutang dan liabiliti Malaysia, kerajaan kini memaklumkan sedang laksana langkah strategik tertentu untuk membantu menampung kedudukan kewangan negara. Antaranya sedang merangka Akta Syarikat Milik Kerajaan (SOE) bagi memantapkan pengurusan risiko fiskal Malaysia.
Keperluan ini menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada notis Parlimen, tidak sekadar memantau prestasi pulangan kewangan dan pelaburan tetapi turut memastikan tahap pematuhan komersialnya mengikuti piawaian antarabangsa serta mengekalkan prinsip tiada campur tangan politik.
Sebelum ini untuk tindakan kawalan, Malaysia sekadar berpaut kepada Akta Syarikat 2016, Akta Menteri Kewangan Diperbadankan dan garis panduan Kabinet sahaja dalam mengawalselia pengurusan semua syarikat di Malaysia. Dengan komitmen itu, ia tidak sekadar mewujudkan piawaian lebih khusus tetapi secara berkala akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk menjadi lebih inklusif dan berdaya tahan di pasaran hadapan.