Kini pengguna kenderaan di Malaysia boleh menggunakan Shell Asia App untuk memanfaatkan insentif BUDI95 pada pembayaran petrol subsidi RON95 di stesen minyak Shell Malaysia.

Menerusi integrasi itu, Shell menjelaskan untuk langkah awal pengguna perlu melalui pengesahan status akaun BUDI95 melalui TNG eWallet. Pengesahan itu boleh diraih dengan pergi ke bahagian Check BUDI95 untuk laksana pengesahan pengguna dengan memautkan akaun TNG eWallet pengguna pada Shell App.
Dan perlu difahami proses pemautan ini hanyalah untuk tindakan pengesahan status kelayakan BUDI95 semata dan bukanlah untuk tindakan pembayaran. Setelah pengesahan lengkap dengan memasukkan maklumat kad debit atau kad kredit pada Shell App, maka barulah pengguna boleh memanfaatkan pembayaran petrol dengan BUDI95 di Shell App.

Sepertimana yang dipaparkan TNG eWallet dan Setel – pengguna turut boleh melihat baki subsidi BUDI95 yang masih tersedia pada paparan Shell App untuk mengetahui aliran penggunaan insentif. Selari dengan pelancaran rasmi ini, Shell turut menawarkan baucar sehingga RM2 juta untuk penyertaan pengguna pada akses ini sehingga akhir 2025 buat pengguna Malaysia. Untuk menikmati ganjaran tersebut, para pengguna boleh merujuk laman rasmi Shell atau muat turun Shell App bagi perincian lanjut.